Friday, November 23, 2018

KESIMPULAN PENGURUSAN BILIK DARJAH


Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah seharusnya menjadi aspek yang penting dalam usaha ke arah sistem pendidikan yang terbaik selaras dengan pembelajaran abad ke-21 yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 lagi. Usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan melalui pendidikan abad ke-21 telah menampakkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dan memberi impak yang besar kepada sistem pendidikan di Malaysia. Pengurusan bilik darjah yang dikatakan juga menjadi salah satu faktor kecemerlangan pelajar. Hal ini telah dibuktikan melalui kajian yang telah kami lakukan. Pengurusan bilik darjah yang baik dari segi persekitaran bilik darjah yang bersih, kemas serta ceria menaikkan lagi semangat para pelajar untuk belajar dan membuatkan mereka lebih selesa untuk belajar di dalam persekitaran yang ceria. Mengikut pendidikan abad ke-21 yang berpusatkan pelajar maka seharusnya keperluan dan kepentingan pelajar harus dijaga dan diutamakan. Melalui dapatan kajian yang telah di beri, persekitaran fizikal bilik darjah penting kerana persekitaran yang kondusif boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran pelajar. Persekitaran fizikal boleh dikategorikan sebagai susun atur meja dan juga kerusi di dalam bilik darjah. Selain itu, hiasan di dalam bilik darjah yang mempunyai unsur-unsur setiap subjek sebagai contoh subjek Sains atau Matematik di samping mencantikkan kawasan di dalam bilik darjah, pelajar juga dapat menambahkan ilmu mereka terhadap subjek tersebut. Tidak kurang penting juga dari segi warna cat di dalam bilik darjah supaya bilik darjah tersebut tidak kelihatan suram atau sempit. Kemudahan yang diberikan kepada sekolah haruslah mencukupi supaya pelajar dan guru boleh menggunakan kemudahan tersebut dan kemudahan tersebut hendaklah sentiasa diperbaiki jika ada yang rosak mahupun tidak boleh digunakan. Peranan daripada guru dan pelajar amatlah penting dalam pengurusan bilik darjah agar kelas tersebut terjaga dan sentiasa ceria. Jadi, melalui kajian ini kita dapat buktikan bahawa pengurusan bilik darjah amat penting. Guru dan pelajar yang dipertanggungjawabkan ke atas pengurusan bilik darjah seharusnya berganding bahu dalam menjayakan salah satu usaha ke arah kecemerlangan murid dan sekolah ini.

No comments:

Post a Comment