Friday, November 23, 2018

PERBINCANGAN PENGURUSAN BILIK DARJAH


Dalam konteks kajian ini, pengurusan bilik darjah merujuk tugas guru dalam mengurus rutin harian bilik darjah. Terdapat enam rutin yang perlu diikuti oleh guru dalam mengurus bilik darjah iaitu rutin kelas, rutin pentadbiran, rutin pergerakan murid, rutin pengurusan tugasan, rutin pembelajaran serta rutin interaksi.
      1)      Rutin kelas
·         Rutin kelas merupakan peraturan dan prosedur untuk mewujudkan situasi pengajaran dan pembelajaran P&P yang baik dan berkesan. Contohnya seperti menjaga kebersihan, kekemasan, jadual bertugas murid dan sebagainya ketika di dalam bilik darjah.
      2)      Rutin pentadbiran
·         Dalam rutin pentadbiran, peranan guru merupakan peranan yang pelbagai kerana guru perlu mentadbir bilik darjah dengan berkesan untuk dapat menjimatkan masa dan tenaga kepada guru dan murid. Contohnya adalah mencatat kehadiran, memungut yuran murid, laporan kemajuan murid, kad 001 dan kad kesihatan murid.
      3)      Rutin pergerakan murid
·         Ini adalah penting kepada setiap murid di sekolah iaitu pergerakan murid ketika berada di dalam kelas mahupun di luar kelas bagi memastikan keselamatan mereka terjaga. Guru hendaklah memastikan murid-muridnya beratur sebelum memasuki atau apabila mahu keluar kelas dengan tertib dan teratur. Contohnya, aktiviti yang dilakukan di dalam bilik darjah ke aktiviti luar bilik darjah, aktiviti kelas ke aktiviti kumpulan dan ke kelas makmal komputeratau makmal sains yang memerlukan murid untuk bergerak.
      4)      Rutin pengurusan tugasan
·         Persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti. Guru perlu memberitahu hasil pembelajaran yang diharapkan supaya murid tahu apa yang perlu difahami oleh mereka dan guru perlu memantau setiap aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian murid itu.
      5)      Rutin pembelajaran
·         Setiap murid perlu melibatkan diri dalam pembelajaran dengan aktif. Sebagai contohnya, dengan memungut buku latihan, menagih bahan dan buku.
      6)      Rutin interaksi
·         Rutin interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran menekankan aktiviti berpusat kepada murid. Interaksi di antara guru dan murid sangat digalakkan tetapi ada caranya dan bersopan. Melalui interaksi yang berkesan, murid dapat mencerna pembelajaran dengan baik dan berani untuk tampil ke hadapan berhadapan dengan orang ramai. Contohnya seperti, perbincangan kelas atau kumpulan, membuat ujikaji makmal dan projek.
Di dalam bilik darjah, guru yang mengurus murid-murid supaya melakukan aktiviti bilik darjah, cara menyusun kerusi-meja dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar di dalam atau di luar bilik darjah, mengurus bahan-bahan pengajaran untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan serta mengawal disiplin pelajar di dalam kelas bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Konteks amalan pengurusan bilik darjah adalah luas. Pelajar akan sentiasa memerhati dan saling berinteraksi dengan guru di dalam atau di luar bilik darjah. Maka, pendekatan atau amalan guru berupaya mempengaruhi pelajar dalam bilik darjah serta prestasi akademik dan sahsiah mereka sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pengurusan bilik darjah yang efektif memerlukan kemahiran merancang, mengelola dan merefleksi disamping keupayaan bekerja dalam kumpulan (Bosch, 2006).
            Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh guru ialah bagaimana guru akan mengurus bilik darjah pada hari pertama melangkah masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Para pelajar secara langsung akan terus menilai guru yang akan mengajar mereka. Sebagai seorang guru, perlu lebih bersedia dan merancang apakah yang akan guru lakukan pada kali pertama melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Apabila melangkah masuk ke dalam bilik darjah pada kali pertama, guru perlu memulakan pertemuan tersebut dengan sesi perkenalan. Pengetahuan guru mengenai nama dan latar belakang pelajar akan dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dengan pelajar sekaligus dapat membantu guru pelatih mengawal bilik darjahnya dengan baik dan cekap. Kaedah ini memudahkan guru untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku ataupun ketika berurusan di luar bilik darjah. Pelajar akan berasa bangga dan dihargai apabila mereka dipanggil oleh guru. Guru perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susunatur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Pelajar perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana. 
            Selain itu, masalah yang dihadapi oleh guru dalam mengurus bilik darjah adalah dari tingkah laku disiplin pelajar dan masalah susun atur dan peralatan yang tidak cukup akan memberi impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Antara strategi menangani masalah tingkah laku disiplin pelajar yang berkesan ialah bersikap tegas dengan pelajar. Ketegasan di bilik darjah bermaksud guru perlu bijak memperjelaskan ekspektasinya kepada pelajar. Guru perlu tegas dengan memperjelaskan prosedur dan peraturan di bilik darjah serta ekpektasi yang guru harapkan daripada pelajarnya. Ini sebagai isyarat kepada pelajar supaya mereka bertingkah laku seperti yang dikehendaki dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk melampaui garis paraturan yang telah ditetapkan. Strategi ini mungkin lebih sesuai digunakan bagi para pelajar yang tingkah laku mereka sukar dikawal ataupun mereka kurang mendapat perhatian dan layanan kasih sayang di rumah. Justeru itu, mereka ingin menguji sama ada semua orang dewasa yang mereka temui benar-benar mengambil berat dan memberi perhatian terhadap mereka. Walaupun berhadapan dengan pelajar sebegini, kaedah-kaedah berikut boleh dicubatiru bagi mengatasi masalah ini. Strategi yang dicadangkan melibatkan sebahagian besar guru yang perlu memainkan peranan.

No comments:

Post a Comment