Wednesday, November 21, 2018

APA ITU PENGURUSAN BILIK DARJAH?



Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab. Pengurusan bilik darjah bermaksud bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku (Bosch, 2006). Ianya adalah pakatan di antara guru dan pelajar untuk mengurus segala aspek terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan pelajar, kemudahan fizikal serta aktiviti yang dilaksanakan agar satu alam belajar yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan (Mok Soon Sang, 2011). 

Pengurusan bilik darjah merupakan sebahagian dari proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina serta memupuk tingkah laku pelajar dalam bilik darjah agar proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan lancar, manakala aktiviti penyampaian ilmu bertujuan pelajar dapat mencapai objektif spesifik sesuatu pembelajaran. Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Ia turut melibatkan aspek pengurusan bilik darjah serta tingkah laku pelajar. Maka, bilik darjah yang diurus dengan baik dapat membentuk satu budaya pengajaran dan pembelajaran yang positif dan kondusif. Guru-guru boleh mempelbagaikan kemahiran pengajaran dalam menjalankan tugas harian mereka di sekolah. Sekiranya ia wujud dalam bilik darjah, pelajar akan berminat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan tanpa gangguan atau halangan. Sehubungan ini, pengetua perlu memastikan para guru memahami tugas dan peranan mereka dalam menentukan disiplin pelajar di bilik darjah berada dalam keadaan baik dan terkawal pada setiap masa.

No comments:

Post a Comment