Dalam
menuju kearah pendidikan bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa perubahan yang
akan memberi kesan kepada dunia pendidikan. Bersesuaian dengan matlamat dan
zaman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pembelajaran
abad ke-21 (PAK21) bermula pada tahun 2014.
Keberkesanan pembelajaran abad ke-21
ini bukan sekadar tertumpu pada prasarana dan susun atur bilik darjah tetapi
penentu utama kejayaan adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
berpusatkan murid bukan berpusatkan guru. Guru perlu menjadi pemudahcara kepada
murid dalam sesuatu aktiviti di dalam kelas. Warga pendidik perlu mempersiapkan
diri dengan kemahiran terkini dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21
kerana mereka adalah jentera perlaksana untuk segala dasar-dasar yang dirancang
oleh kerjaaan.
Persekitaran fizikal bilik darjah
adalah penting kerana persekitaran yang kondusif boleh menggalakkan atau
menghalang pembelajaran. Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah
mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pembelajaran.
Ciri-ciri
bilik darjah abad ke-21
Sambil
melangkah jauh ke alaf baru, ia menjadi jelas bahawa keperluan bilik darjah
abad ke-21 adalah sangat berbeza daripada keperluan bilik darjah abad ke-20.
Bilik darjah abad ke-21, guru adalah fasilitator kepada pembelajaran murid dan
pencipta kepada persekitaran bilik darjah yang produktif di mana murid boleh
membangunkan kemahiran yang diperlukan mereka di tempat kerja.
Focus bilik darjah abad ke-21 adalah
pada murid, di mana mereka dapat mengalami persekitaran sebagaimana mereka akan
memasuki alam pekerjaan pada abad ke-21 kelak. Kolaboratif kurikulum berasaskan
projek yang digunakan di dalam kelas ini membangunkan kemahiran berfikiran aras
tinggi, kemahiran komunikasi yang berkesan dan pengetahuan teknologi yang murid
perlu di tempat kerja dalam abad ke-21.
Susunatur
bilik darjah pembelajaran abad ke-21
Dari
segi susunan fizikal bilik darjah, meja dan kerusi murid-murid disusun dengan
kemas dan rapi mengikut kumpulan. Susunatur bagi bilik darjah abad ke-21 adalah
mesti mempunyai beberapa ciri yang penting, iaitu membolehkan pelajar terlibat
aktif dengan pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung, membina ruang
autonomi pembelajaran dan meselarikan ruang pembelajaran fizikal dengan ruang
pembelajaran mental. Tiga konsep utama yang boleh digunapakai adalah campfire,
watering hole and cave. Campfire adalah konsep yang memberi ruang pembelajaran
daripada orang pakar ataupun pencerita. Manakala konsep watering hole pula
adalah ruang pembelajaran sesame rakan yang melibatkan kolaborasi dalam
kumpulan yang kecil. Konsep cave pula adalah ruang pembelajaran individu untuk
mereka yang belajar mendapatkan ilmu secara sendirian.
Dari segi saiz bilik darjah, ruang
bilik darjah yang mencukupi diperlukan bagi sesebuah bilik darjah bagi
memudahkan pergerakkan murid dan guru. Guru boleh berdiri di tengah kelas serta
dapat memberi perhatian kepada semua murid dalam kumpulan. Dengan ini,
murid-murid dapat memberi sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar di
hadapan. Saiz bilik darjah yang besar akan memberikan keselesaan semasa
murid-murid dalam bilik darjah.
Dari segi kemudahan, bilik darjah
abad ke-21 dilengkapi dengan kerusi dan meja yang mencukupi, papan hitam atau
putih, sudut objektif, ruang paparan hasil kerja murid, parking lot, bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, alat
bantu mengajar yang disediakan oleh guru, punch
card dan traffic light card. Parking lot adalah satu sudut murid
boleh menampal semua refleksi tentang pembelajaran yang telah diikuti. Guru
perlulah mengambil maklum dan memberikan penerangan jika ada sebarang soalan
yang ditampal oleh murid pada parking lot
tersebut. Melalui kaedah ini, guru dapat mengetahui jumlah murid yang menguasai
atau tidak menguasai pembelajaran hari tersebut. Selain itu, kemudahan yang
digunakan adalah traffic light card.
Pelbagai kegunaan traffic light cards antaranya guru boleh menggunakan untuk
mengetahui tahap pemahan murid, murid yang tidak faham akan mengangkat kad
berwarna merah, murid yang tidak pasti akan mengangkat kad berwarna kuning
manakala murid yang faham akan mengangkat kad berwarna hijau. Selain itu, traffic light card juga untuk mengawal
murid daripada bercakap apabila ingin melontarkan pertanyaan dengan cara murid
yang ingin bertanya, boleh diarahkan untuk mengangkat traffic light berwarna merah atau kuning dan guru akan bergerak
kearah murid tersebut. Seterusnya, sudut objektif adalah bermaksud sudut untuk
guru menulis objektif pembelajaran dan kriteria kejayaan. Objektif dan kriteria
kejayaan bukan sahaja ditulis tetapi perlu diterangkan oleh guru kepada murid.
Kaedah
temuramah digunakan dalam kajian ini dapat memberikan kerjasama untuk memberi
maklumat berkenaan dengan pengurusan bilik darjah berdasarkan pembelajaran abad
ke-21.
Soalan
1: Bagaimanakah kaedah
guru mengurus bilik darjah pada pertemuan kali pertama?
“...guru juga perlu berkenal-kenalan dengan
murid di dalam kelas pada pertemuan kali pertama dengan murid tersebut agar
murid berasa selesa terhadap guru tersebut dan membuka diri mereka untuk menerima
pengajaran daripada guru tersebut. Di samping itu, pada pertemuan kali pertama
guru haruslah menyusun meja murid tersebut agar mereka duduk di dalam kumpulan
dan dalam satu kumpulan itu terdiri daripada murid yang pandai dan juga murid
yang lemah. Dengan itu, murid yang pandai dapat membantu murid yang lemah
sekiranya mereka tidak faham apa yang telah diajarkan oleh guru...”
(Sumber: Guru
1)
Soalan
2: Bagaimanakah
keadaan yang dikategorikan persekitaran bilik darjah yang sesuai bagi sesi
pembelajaran?
“...perkara utama untuk mendapatkan susunan
bilik darjah yang baik adalah dengan
memastikan lalu lintas dalam bilik darjah tidak sesak. Maksud lalu
lintas di sini adalah laluan antara meja ke meja dan laluan di dalam kelas
tersebut. Selain itu, semua murid harus dipastikan agar dapat dilihat oleh guru
supaya guru dapat memantau kelakuan murid di dalam kelas. Di samping itu juga,
persekitaran yang sesuai di dalam bilik darjah adalah dengan memastikan murid
mudah melihat apa yang ditulis di papan putih dan dapat mendengar dengan jelas
penyampaian daripada guru. Ruang dan tempat yang sesuai untuk guru berdiri
semasa mengajar juga turut diambil kira untuk mewujudkan persekitaran bilik
darjah yang sesuai. Bilik darjah juga perlu mempunyai papan buletin atau papan
kenyataan untuk mempamerkan berkenaan informasi tambahan atau hasil kerja
murid. Penggunaan ruang juga harus dilaraskan agar perabot dan alatan seperti
meja guru atau rak untuk meletakkan buku bagi sudut bacaan dapat disusun dengan
teratur dan kemas...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 3: Apakah masalah yang sering dihadapi
oleh guru dalam pengurusan bilik darjah?
“...guru berhadapan dengan masalah disiplin
murid di dalam kelas seperti murid ponteng kelas, ponteng sekolah, berpura-pura
sakit, bising di dalam kelas sehingga mengganggu sesi pengajaran dan
pembelajaran dan banyak lagi. Seterusnya bilangan murid yang ramai di dalam
kelas juga menjadi suatu masalah buat guru kerana guru tidak dapat mengawal
kelas dengan baik dan juga di dalam kelas tersebut terdiri daripada pelajar
yang mempunyai daya pemahaman yang berbeza. Terdapat murid yang cekap dan terus
memahami apa yang diajar oleh guru dan terdapat juga murid yang lemah dari segi
pemahamannya dan memerlukan penerangan dengan lebih jelas oleh guru. Dengan
itu, apabila sesebuah kelas itu mempunyai ramai murid maka guru tidak dapat
fokus kepada murid yang lemah tersebut kerana terlalu ramai murid di dalam
sesebuah kelas...”
(Sumber: Guru 1)
Soalan 4: Apakah peranan guru dalam
menguruskan bilik darjah?
“...peranan guru sebagai pengurus bilik darjah
yang utama adalah mendapatkan kerjasama daripada murid. Kerjasama daripada
mereka amat diharapkan agar segala yang dirancang oleh guru tersebut dapat
terlaksana dengan baik. Oleh itu, guru seharusnya berusaha mendapatkan
kepercayaan murid agar mereka sudi untuk memberikan kerjasama semasa berada
dalam bilik darjah dan guru harus bijak dalam
menarik perhatian murid agar mereka berkeinginan untuk mengikuti arahan
daripada guru tersebut. Selain itu, guru juga bertanggungjawab dalam
menguruskan persekitaran bilik darjah bagi mewujudkan bilik darjah yang
kondusif agar mampu merangsang suasana pembelajaran yang optimum. Sebagai
contoh, guru menyuruh murid mengutip sampah yang berdekatan dengan mereka
terlebih dahulu sebelum memulakan kelas agar kelas tampak bersih dan juga
memastikan susunan meja tampak teratur dan kemas supaya murid dapat belajar
dalam keadaan yang selesa. Di samping itu, guru juga bertindak sebagai pengurus
yang memastikan setiap rutin bilik darjah berjalan dengan lancar dan memastikan
ianya berjalan seperti yang dirancang bagi memastikan tahap disiplin pelajar
dapat dikawal. Jika rutin bilik darjah berjalan lancar, kelangsungan proses
P&P turut terpelihara...”
(Sumber: Guru
1)
Soalan 5: Bagaimanakah susunan meja di dalam
bilik darjah mengikut abad ke-21?
“...pada awal tahun, guru kelas akan
memastikan murid menyusun meja mereka dalam bentuk kumpulan kerana pembelajaran
mengikut abad ke-21 adalah berorientasikan murid dan guru hanya bertindak
sebagai fasilitator sahaja. Hal ini bagi membuatkan mereka merasai persekitaran
sebagaimana mereka akan masuk sebagai pekerja abad ke-21. Kolaboratif kurikulum
berasaskan projek yang digunakan di dalam bilik darjah ini dapat membangunkan
kemahiran berfikiran aras tinggi, kemahiran berkomunikasi dengan berkesan dan
pengetahuan teknologi yang murid perlu di tempat kerja pada abad ke-21. Maka,
penyusunan meja dalam bentuk kumpulan adalah bersesuaian bagi mencapai objektif
pembelajaran mengikut abad ke-21. Selain itu, murid juga dapat berbincang
sesama mereka dan meluahkan pendapat masing-masing kerana pendapat daripada
setiap murid itu pasti berbeza. Di samping itu, kumpulan tersebut terdiri
daripada murid yang lemah dan juga murid yang pandai. Jika mereka dicampurkan
dalam satu kumpulan, murid yang pandai tersebut dapat membantu murid yang lemah
itu...”
(Sumber: Guru
1)
Soalan 6: Bagaimanakah set induksi digunakan
oleh guru di dalam bilik darjah?
“...set induksi adalah set bagi memulakan
sesuatu pelajaran yang melibatkan sebarang idea, pendekatan, teknik, proses,
aktiviti dan sumber bagi menarik perhatian pelajar supaya bersedia menghadapi
pelajaran. Tujuan utama set induksi ini digunakan di dalam bilik darjah adalah
untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid-murid supaya mereka
akan menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang hendak disampaikan
dan ia tidak digunakan untuk setiap kali pengajaran hanya topik-topik tertentu
sahaja yang menggunakan set induksi ini. Sebagai contoh, bagi tajuk jirim dalam
mata pelajaran Sains guru akan memberi satu kumpulan satu belon dan menyuruh
mereka meniup belon tersebut. Selepas itu, guru akan bertanya kepada mereka apa
yang masuk dalam belon tersebut dan bagaimana belon itu boleh mengembang?
Selepas itu, murid akan cuba memberi jawapan mereka dan kemudian guru akan
memberitahu jawapan yang betul dan mengaitkan dengan apa yang hendak mereka
pelajari pada hari tersebut iaitu jirim. Dengan itu, murid akan dapat lihat dan
dapat memahami dengan lebih jelas lagi apa yang akan diajar oleh guru pada hari
tersebut sekali gus menarik minat murid untuk belajar berkenaan topik
tersebut...”
(Sumber: Guru
1)
Soalan 7: Apakah kesan pengurusan bilik darjah
yang berkesan?
”...kesan pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah
ramai murid yang berjaya dan cemerlang dari segi akademiknya. Hal ini
menunjukkan bahawa pencapaian murid adalah hasil daripada perlakuan guru,
seperti merancang, mengurus dan mengajar dengan baik dan juga ianya juga
daripada perlakuan murid tersebut di dalam bilik darjah seperti melibatkan diri
dalam perbincangan di dalam bilik darjah, menguasai pelajaran dan menyelesaikan
tugasan yang diberikan oleh guru. Seterusnya, pengurusan bilik darjah
yang berkesan menggalakkan daya pemikiran kreatif yang tinggi di kalangan
murid. Ia berkaitan dengan corak penyusunan tempat duduk dan pengaturan bilik
darjah. Penggalakkan murid- murid supaya aktif didalam bilik darjah adalah
bergantung kepada corak bilik darjah tersebut. Perkara ini memerlukan imaginasi
guru supaya perkongsian ilmu melalui perbincangan dapat dilakukan antara mereka
dengan suasana yang selesa. Papan kenyataan dalam bilik darjah juga
menggalakkan pemikiran yang lebih baik sekiranya diamanfaatkan secara berkesan.
Selain itu, pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Hal ini
kerana, kemampuan seseorang guru dalam mengurus bilik darjah secara fizikal,
iklim, komunikasi dan pengawalan disiplin dapat memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran berjalan dengan lancar
seterusnya objektif dan matlamat dapat dicapai. Murid juga akan merasa seronok
dan dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap apa yang diajarkan oleh
guru...”
(Sumber: Guru 1)
No comments:
Post a Comment